Al-Ruwaibidoh adalah satu golongan yang
diberi amaran oleh Nabi s.a.w. akan kemunculannya menjelang kiamat. Sabda
baginda: “Sesungguhnya sebelum kedatangan dajjal-dalam riwayat yang lain:
sebelum kiamat- adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan
orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang
amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu
al-Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?” Sabda Nabi
s.a.w.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).” Hadith
ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya’la, al-Bazzar, Ibnu Majah,
al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih.dan ini disetujui
oleh Al-Zahabi. Demikian juga Ibn Hajar al-`Asqalani menyebut di dalam Fath
al-Bari :sanadnya baik. Al-Albani di dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah juga menyatakan
ianya sahih
Isi kandungan hadith ini adalah amaran Nabi
s.a.w. kepada kita semua, bahawa akan muncul sebelum kiamat golongan manusia
yang lekeh dan tidak berkelayakan tetapi bercakap dalam urusan umat yang membabit
kepentingan umum dan ramai. Natijahnya, tentulah terjadinya porak peranda
pemikiran manusia, gawatlah kefahaman mereka dan hancur binaan ilmu yang
sebenar. Apa tidaknya, apabila yang lekeh menjadi pemimpin lalu bercakap dalam
urusan umat, yang jahil berlagak `alim, yang menghafal sepatah dua ayat
berlagak ulamak. Yang bukan ulama mengakui ulamak, yang hanya ada sepatah dua
ilmu agama ditabalkan menjadi ulamak. Inilah saat kehancuran. Justeru itu,
al-Imam Ibn Rajab al-Hambali dalam Jami’ al-`Ulum wa al-Hikam ketika
menghuraikan hadith tersebut menyatakan: “Maksud tanda kiamat yang disebut di
dalam hadith ini merujuk kepada persoalan “apabila urusan diserahkan kepada
bukan ahlinya” sepertimana yang disebut oleh Nabi s.a.w. kepada orang bertanya
baginda mengenai kiamat, maka kata baginda, “apabila urusan diserahkan kepada
bukan ahlinya maka tunggulah kiamat”.
Golongan al-Ruwaibidoh muncul di kalangan
masyarakat, mereka sebenarnya lekeh, tidak berkelayakan tetapi cuba menonjolkan
diri. Samada melalui pentas kepimpinan masyarakat, ataupun dalam gelanggang
ilmu. Inilah dua peluang besar untuk seseorang muncul dan dapat bercakap,
berbicara, memberikan pandangan mengenai urusan awam dan persoalan-persoalan
besar. Kadang-kala menerusi ucapan yang diperdengarkan, ataupun tulisan yang
dibaca. Bukannya kesalahan itu kerana mereka memberi pandangan, tetapi
kesalahannya kerana ketidaklayakan mereka, bekalan yang tidak cukup, berbicara
mengenai sesuatu yang bukan bidang mereka. Sebab itu, al-Imam al-Sayuti dalam Syarah
Sunan Ibn Majah menyatakan: “Al-Ruwaibidoh adalah orang yang lemah yang cuba
mencampuri perkara-perkara besar dan berusaha untuk memperolehinya”.
Inilah yang sedang kita saksikan di pentas
dunia kita. Apabila urusan politik umat cuba diuruskan oleh mereka yang tidak
mendalami ilmu al-siyasah al-syar`iyyah, lalu memberikan pandangan yang
bukan-bukan mengenai politik Islami maka kefahaman umat bawahan menjadi kelam
kabut. Umpamanya lihat lagak sebahagian orang-orang politik di negara ini. Yang
jahil tentang ilmu mustalah al-hadith, tidak pernah mempelajari ilmu sanad,
tidak mengetahui apa itu ilmu al-Rijal, apa itu ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil, yang
menjadi asas pengetahuan dan kajian dalam hadith nabawi, berani bercakap
tentang hadith dan mencabarnya. Umpamanya lihatlah Kasim Ahmad!!!. Yang tidak
tahu bahasa arab, jahil kaedah dan cara istinbat (memetik) hukum, tidak
mendalami bab al-`Illah dalam Usul al-Fiqh, tidak mendalami Maqasid al-Syarak,
cuba menghuraikan dan mencabar beberapa ketetapan syarak. Umpamanya, lihatlah
gerakan sisters in Islam!!. Semua golongan ini bercakap apa sahaja yang mereka
mahu mengenai agama, apatah lagi bila diberi ruang di dalam akhbar dan media
massa. Hinggakan ada orang politik yang mengajak rakyat bersolat hajat untuk
menjadi tuan rumah sukan yang menyanggahi disiplin agama.
Sementara di kalangan yang cintakan Islam
pula, budaya ilmu belum begitu subur berkembang. Kuliah-kuliah agama di
sebahagian masjid dan surau, kurang membuahkan ilmu yang menimbulkan rasa takut
kepada Allah dan faham hukum-hakamnya. Peserta kuliah sebahagiannya lebih
meminati kuliah yang dipenuhi dengan lawak jenaka tanpa penekanan kepada ilmu.
Lebih mendukacitakan lagi apabila yang dijemput mengajar tidak memilik latar
belakang ilmu. Kata orang arab “orang yang tidak memiliki sesuatu tidak dapat
memberikan sesuatu”. Ada yang tidak pernah mempelajari Usul al-Fiqh tiba-tiba
memberi fatwa dalam hukum fikah. Bahkan sebahagiannya begitu jahil, misalnya,
sehingga ada yang tidak tahu apa yang dikatakan al-Ijmak atau ijmak ulamak,
lalu menafsirkannya sebagai pendapat tokoh-tokoh agama nusantara. Ada yang
tidak mengetahui bahasa arab melainkan sepatah dua, tidak pernah mempelajari
Usul al-Tafsir atau `Ulum al-Quran tiba-tiba mengajar kuliah tafsir.
Menghuraikan apa sahaja ayat yang dirasakan boleh menyeronokkan pendengar.
Pergantungannya hanya kepada apa yang dia faham dari al-Quran terjemahan samada
dalam bahasa Melayu, Indonesia ataupun Inggeris. Lalu qurannya adalah quran
menurut apa yang dia faham dari bahasa Melayu, atau Indonesia, atau Inggeris,
bukan daripada Bahasa `Arab yang nyata seperti yang disebut dalam al-Quran itu
sendiri. Malangnya dia berani menafsirkan untuk orang ramai sesedap lidahnya.
Maka terbitlah dari lidah yang tidak bertulang itu kesimpulan-kesimpulan yang
ganjil. Kalau Ibn `Abbas, Mujahid, al-Tabari, al-Qurtubi, Ibn al-`Arabi dan
para mufassirin yang lain masih hidup tentu mereka kehairanan mendengar tafsir
sedemikian pelik. Ada pula yang menganggap ilmu hadith itu hanyalah membaca
makna hadith dan menghuraikannya, tanpa perlu mengetahui bahasa `arab, tidak
mengetahui apa itu sanad, tidak pula mampu membeza antara hadith-hadith yang
thabit iaitu yang sahih dan hasan, dengan yang dhaif (lemah) atau dengan yang
maudu’ (palsu). Bahkan ada yang tidak mengetahui bahawa haramnya seorang muslim
membaca hadith palsu dihadapan khalayak tanpa diterangkan kepalsuannya. Tidak
mengetahui apakah disiplin al-Bukhari dalam sahihnya, apakah pula disiplin
Muslim, apakah pula disiplin Al-Tirmizi, Abu Daud, Ibn Majah, al-Nasai, Ahmad,
Ibn Hibban, al-Hakim, dan semua tokoh-tokoh hadith. Lalu mereka menganggap
semua hadith yang dibaca mertabatnya sama. Malangnya mereka yang seperti ini
juga cuba berfatwa mengenai hadith Nabi s.a.w.. Kalau Ibn al-Salah, al-Hafiz al-`Iraqi,
al-Balqini, al-Khatib al-Baghdadi, al-Ibn Hajar al-`Asqalani, al-Qasimi dan
seumpama mereka mendengarnya tentu akan terkejut kehairanan
Ini yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w. dalam
sebuah hadith yang sanadnya sahih seperti yang sebut oleh Ibn Hajar al-`Asqalani
dalam Fath al-Bari: “Rosaknya agama apabila ilmu datang daripada yang kerdil,
yang dibantah oleh golongan yang `alim. Baiknya manusia apabila ilmu datang
dari golongan `alim dan diikuti oleh golongan kerdil”
Di sesetengah tempat, sekadar seseorang
pandai berceramah terus sahaja diberi lesen untuk bercakap mengenai agama.
Berbicara seolah-olah dia menguasai kesemua disiplin ilmu di dalam Islam.
Apatah lagi apabila ceramah boleh mendatang pendapatan yang lumayan, maka ramai
yang berusaha menjadi penceramah dengan menghafal sepatah ayat dan hadith lalu
menafsirkannya menurut apa yang digemari pendengar. Lalu dia menyangka dia
betul kerana orang awam suka mendengar apa dia ulas. Modalnya hanya dua, hentam
apa sahaja yang mendatangkan minat pendengar dan lawak yang boleh menyeronokan
pendengar. Mungkin juga akhirnya dia menyangka dirinya alim lantas semakin
hari, semakin berani memberi pandangan apa sahaja mengenai agama.
Saya masih teringat kepada al-Syeikh Dr.
Hasan Hitu, beliau adalah seorang tokoh ulamak semasa bermazhab al-Syafi’i dari
Syria, terkenal dengan karya-karyanya dalam fikah terutama dalam mazhab
al-Syafi`i.. Dalam ceramahnya kepada kami, beliau menyatakan bahawa ilmu-ilmu
Islamlah yang paling dizalimi. Sebabnya, seseorang tidak dibenarkan menjadi
doktor memeriksa dan memberi ubat kepada pesakit melainkan setelah dia lulus
dalam bidang perubatan dengan baik. Seseorang tidak dilulus untuk membina
bangunan yang tinggi melainkan setelah dia memiliki kelulusan dalam bidang
binaan. Begitu juga bidang-bidang yang lain. Namun, malang sekali apabila tiba
kepada persoalan ilmu Islam, semua lapisan diizinkan memberikan pendapat dalam
segala bidang yang ada di dalam agama. Samada dia pernah belajar atau tidak.
Sehingga artis yang tidak tahu hujung pangkal agama pun memberi pandangan
mengenai hukum-hakam syarak”.
Inilah yang sedang berlaku dalam masyarakat
Islam. Ilmu Islam dianggap begitu murah dan lekeh. Bidang-bidang lain, orang
tidak berani masuk campur melainkan jika memilki pengetahuan yang cukup
mengenainya. Ilmu Islam pula diperlakukan sebaliknya. Sehinggakan para artis
yang sedang aktif ataupun yang telah pencen, pun berfatwa tentang agama.
Sebenarnya, bukan kita halang mereka bercakap
atau cuba menyumbang untuk Islam, tetapi jangan mereka bercakap dalam apa yang
mereka tidak benar-benar memahaminya, kerana akhirnya umat akan tersasul dan
tersilap dalam memahami al-Din. Menyesatkan umat adalah suatu jenayah.
Sumbangan kepada umat dialu-alukan, namun biarlah ianya melalui cara yang
betul. Jika tidak mereka akan menjadi golongan al-Ruwaibidoh. Namun, apa yang
dapat kita katakan jika ianya adalah salah satu dari tanda kiamat yang
dikhabarkan iaitu munculnya golongan al-Ruwaibidoh. Kepada Allah kita pohon
agar kita tidak tergolong dalam golongan ini.
Freeware © 2006, al-ahkam.net
This help file has been
generated by the freeware version of HelpNDoc
Mohd Asri bin Zainul Abidin
Pensyarah Bahagian Pengajian Islam
Universiti Sains Malaysia (USM)
1 comments:
mantap....
Post a Comment